Wednesday, 1 July 2015

LAPORAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SEKOLAH



Sekolah kamu telah mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah. Sebagai Setiausaha, kamu diminta menulis laporan hari anugerah tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.

 Laporan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah

 Pada hari Sabtu, 15 Oktober 2012, Sekolah Kebangsaan Brinchang telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah. Majlis itu bermula seawal pukul 8.30 pagi. Ibu bapa turut hadir untuk memeriahkan majlis yang dilangsungkan di dewan sekolah. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Penganugerahan ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada murid-murid supaya terus cemerlang.

Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Amir Zikri b Azman. Kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi PIBG serta ucapan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Brinchang.Tepat pukul 10.00 pagi, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah, Tuan Haji Ghazali. Dalam ucapan tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap pendidikan anak-anak. Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan murid-murid.

Antara persembahan yang menarik ialah persembahan Boria oleh murid tahun 6, persembahan tarian zapin oleh murid tahun 5 dan persembahan deklamasi sajak oleh adik Muhamad Nizam daripada kelas 4 Cemerlang.Para tetamu terhibur dengan persembahan yang dipersembahkan. Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah kepada murid-murid yang cemerlang dalam akademik berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun.

Murid-murid yang cemerlang serta aktif dalam bidang kokurikulum turut diberikan anugerah. Majlis ini berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Para tetamu dihidangkan dengan juadah sejurus selesainya majlis itu. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid agar lebih cemerlang pada masa akan datang.

Disediakan oleh ,                                                                                            02 JULAI 2015

 Wafi
.............................
(MUHAMMAD AMIR WAFI BIN AZMAN)
Setiausaha, Hari Anugerah Kecemerlangan
Sekolah Kebangsaan Brinchang


LAPORAN PERSATUAN MATEMATIK DAN SAINS SK BRINCHANG



Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut . Sediakan laporan itu selengkapnya.

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains Sekolah Kebangsaan Brinchang.

          Persatuan Matematik dan Sains dibentuk pada tahun 2003.Anggota-anggota persatuan ini berjumlah 60 orang. Mereka terdiri  daripada pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam. Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan taraf pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu ,melalui persatuan ini,pelajar dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.
         
Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 2015.Kegiatan-kegiatan tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik. Kegiatan pertama yang kami jalankan ialah”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”.Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Suriani Mat Zin,pelajar Tahun Enam Mawar.
         
Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik .Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaysia. Selain itu ,kami turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Kami memperindahkan kawasan taman pra dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan  pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.
         
Pada cuti penggal kedua persekolahan,kami mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat. Sebagai hasil lawatan ini,kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan yang dijalankan oleh pihak Institut  Penyelidikan Perubatan Malaysia di situ.
         
Pada keseluruhannya,kami berpuas hati dengan kegiatan-kegiatan yang kami jalankan .Kami juga berterima kasih  kepada guru penasihat,Cikgu  Rosmini Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.


Disediakan oleh,                                                                                            02 JULAI 2015
      Zikri
_______________
(MUHAMMAD AMIR ZIKRI B AZMAN)
Setiausaha Persatuan Matematik dan Sains,
Sekolah Kebangsaan Brinchang,
Cameron Highlands.